IPTS berdaya saing

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.myThis e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it
[TERKINI: Perkembangan bidang teknologi komunikasi dan maklumat rangkaian di TATiUC turut dilengkapi makmal tanpa wayar untuk kemudahan pelajar.]
Kolej Universiti Tati sasar lahirkan teknokrat Melayu berkemahiran tinggi

PENUBUHAN Kolej Universiti Tati (TATiUC) sejak 15 tahun lalu dirancang untuk melahirkan teknokrat Melayu terutama dalam bidang berkaitan kemahiran tinggi bagi menampung keperluan tenaga mahir terutama di kalangan Bumiputera.

Kini, selepas dinaiktaraf statusnya dari Institut Teknikal Tinggi Terengganu (Tati) kepada TATiUC, kolej universiti itu berusaha meletakkan sasaran muncul sebagai institusi berasaskan kemahiran tinggi terulung di rantau ini.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat, berkata sejajar penaiktarafan itu, TATiUC mengorak langkah menambah program bagi menampung permintaan pasaran kerjaya yang memerlukan kemahiran khususnya dalam bidang robotik, kejuruteraan pembuatan dan kimia.

Bermula tahun ini, katanya, TATiUC menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan (Tooling) dan dua program baru peringkat diploma serta ijazah sarjana muda dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Machining) akan mula ditawarkan menjelang 2010.

“Mengenai kejuruteraan kimia pula, program baru ditawarkan termasuk Diploma Teknologi Polimer, Diploma Teknologi Kimia, selain kursus pendek seperti Kimia Asas, Teknologi Polimer, Kejuruteraan Asas dan Analisa Air serta Sisa Air khusus untuk lepasan universiti dan golongan bekerja.

“Penawaran program itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pembelajaran termasuk pembelian mesin berteknologi tinggi dan terkini bernilai RM4 juta yang akan memperkasakan bidang kemahiran kendalian TATiUC.

“Selain itu, kemudahan makmal pengujian teknologi polimer dan pemprosesan polimer turut disediakan dengan

peralatan diperlukan dalam program berkaitan termasuk twin screw extruder, blow film module, cast film module, pipe and tubing module dan injection moulding machine,” katanya kepada Berita Harian.

Mohd Rozailan berkata, TATiUC turut melihat keperluan terhadap jalinan pintar bersama sektor industri yang mampu berperanan memperkasakan kualiti program dan pembangunan kolej.

Bagi tujuan itu, katanya, pelbagai kerjasama dijalinkan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) termasuk dengan Telekom Malaysia bagi memaju serta membangunkan kemudahan dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (rangkaian) di TATiUC.

Menerusi MoU itu, katanya, TATiUC muncul IPTS pertama di Pantai Timur menggunakan perkhidmatan internet jalur lebar menerusi perkhidmatan via Metro E bagi memenuhi keperluan pembelajaran teknologi rangkaian komunikasi terkini.

“Selain itu, TATiUC turut menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat di Jerman, KUKA Robot Automation Sdn Bhd yang berperanan membantu TATiUC meningkatkan kepakaran bidang robotik.

“Kerjasama merangkumi usaha membangunkan kelengkapan bidang robotik menerusi pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan bersama yang mampu membuka lembaran baru bidang robotik di TATiUC,” katanya.

Mohd Rozailan berkata, pembangunan infrastruktur turut menjadi fokus TATiUC menerusi pelan pembangunan keduanya dengan perancangan pembinaan bangunan baru akademik dan kolej kediaman pelajar.

Katanya, pelan itu termasuk pembinaan enam blok asrama dengan keupayaan menampung 1,000 pelajar yang dijangka siap pada 2010.

“Sejumlah RM40 juta diperuntukkan bagi tujuan pembinaan sebuah perpustakaan, dewan konvokesyen, kompleks sukan.

“Pembinaan blok akademik, blok pentadbiran dan bangunan bengkel tambahan yang dibina pada 2006 kini siap sepenuhnya dan dijangka digunakan pada akhir tahun ini.

“Dua blok akademik itu masing-masing mempunyai dua dewan kuliah yang mampu menampung 400 pelajar, selain turut dilengkapi dengan bengkel automotif,” katanya.

Katanya, TATiUC akan terus meningkatkan kualiti pendidikan selaras dengan hasrat untuk menjadi kolej universiti yang terbaik di negara ini.

Beliau turut yakin dengan kemudahan pembelajaran lengkap dan terkini, tenaga kepakaran, sistem pembelajaran berteraskan kemahiran, selain penawaran kursus yang memenuhi keperluan industri tempatan, TATiUC mampu mencapai sasaran menjadi sebuah kolej universiti terulung di Asia Tenggara.

INFO:

* Ditubuhkan pada 11 Jun 1993 dengan status milik penuh kerajaan Terengganu
* Menawarkan program pengajian berteraskan robotik, kejuruteraan pembuatan dan kimia
* Penubuhannya dirancang bagi meningkatkan jumlah tenaga teknokrat Melayu terutama bidang berkaitan kemahiran tinggi

1 comments:

Anonymous said...
January 19, 2009 at 4:47 PM

Diharap pihak pengurusan TATIUC tidak hanya mementingkan aspek teknikal sahaja tanpa mempedulikan aspek pembangunan modal insan dari sudut pembentukan karektor dan sahsiah mahasiswa...