JAGA-JAGALAH PEMILIK FORUM

( Dipetik dari portal http://www.zaharuddin.net/ )

Sama seperti forum-forum yang begitu pelbagai di internet hari ini. Terdapat forum politik, forum perbincangan agama, forum remaja, forum pelbagai dan lain-lain.

Namun agak malang juga apabila melihat sebahagian forum TIDAK TERKAWAL kandungannya. Benarlah, ia memberikan sebahagian manfaat tetapi ia turut membarahkan masalah sosial, akhlak dan agama apabila melepas bebaskan pemberi komen, penghantar artikel untuk menulis apa sahaja.

Pemberi komen di forum dan blog hari ini ada yang bertukar watak syaitan ketika memberi komen, berselidung di sebalik nama palsu dan umum. Sama seperti manusia di jalan raya di Malaysia (bukan di UK), watak sebenar seseorang individu kerap terzahir ketika memandu, ramai tidak disangka ia seganas itu, tetapi itulah dia.

Jika masih ingin memberikan kebebasan umum kepada pelawat, pemilik blog atau forum MESTI mempunyai tenaga pakar yang memantau dan menjawab dengan cepat serta pantas agar setiap idea yang ditulis oleh pelawat yang rencam latarbelakangnya ini dapat ditapis dan dijaga.

"Jika tidak dijaga, adakah pemilik forum berdosa ya ustaz?" itu pertanyaan seorang pelajar kepda saya semasa mengadakan satu kuliah Mawlidur Rasul di UK.

"Sudah tentu!.. biasanya forum bertema politik adalah yang paling meriah dengan dosa fitnah, mengumpat dan lainnya, forum lain juga banyak tapi saya tidak tahu sama ada ia wujud atau tidak "

Ingatlah, bukankah Nabi s.a.w menyebut di dalam hadis sohih Al-Bukhair dan Muslim :

"Setiap kamu adalah penjaga dan bertanggungjawab ke atas apa yang dijaganya.." jawab saya ringkas.

"Bagaimana adakalanya terdapat beberapa orang yang bukan khusus dalam bidang agama, tetapi mengulas pendapatnya, sedangkan pendapat itu mungkin bertentangan dengan Islam" Dia bertanya lagi.

Tidak salah seseorang mengutarakan pendapat, cuma bimbangnya agak semakin meluas hari ini terlalu ramai merasakan pendapatnya adalah paling tepat tanpa menghiraukan pandangan ulama Islam berasaskan al-Quran dan As-Sunnah. Semakin ramai juga tidak mengetahui kejahilan diri, tidak menyedari sempadan ilmu yang dimiliki. Ia tanda dunia semakin mengelirukan, kebenaran semakin berkabus, sukar dituju dan dilihat.

Memang benar, manusia yang paling sesat adalah manusia yang jahil dan tidak mengetahui berkenaan kejahilannya.


Malangnya, kumpulan ini semakin bertambah jumlahnya dan kalau dulu, tiada ramai terkena mudarat dari mereka, tidak ramai pula kenalan mereka. Namun hari ini di waktu kemunculan blog percuma, forum dan media internet, idea kejahilan pembawa racun mereka tersebar meluas, pantas beredar di dalam minda ramai yang juga jahil. Maka lahirlah kumpulan yang jahil lagi menyesatkan dan terus berkembang.

Ibn Umar berkata :
Ertinya : "Ilmu itu punyai tiga cabang, al-kitab yang bertkata ( nas alquran), sunnah baginda nabi yang lalu, dan kata-kata "aku tida tahu" ( Uyun al-Akhbar, 5/130 ; Riwayat Al-Khatib secara Mawquf )

Jika keadaan itu berlaku di dalam sesuatu forum, pemilik forum perlu menentukan sikap dan kaedah pengendalian forumnya, sama ada untuk terus memadam atau meluluskan dengan jawapan dari panel mereka yang faham bab agama.

Nasihat saya buat pemilik forum, bertaqwalah kepada Allah. Jangan sampai forum yang dimiliki menjadi asbab ke neraka, jadikan ia kunci kepada rahmat ilahi untuk ke Syurga. Namun, jalan ke syurga adalah dengan duri dan payah, jalan ke neraka dengan syahwat dan seronok, demikian tegas baginda Nabi s.a.w.

----------------------------------------------------------------------------------

p/s: Pihak TATiUCkini terbuka menerima sebarang komen dan kritikan. Namun ini tidak bermakna kami memberi kebebasan secara total kepada setiap pemberi komen untuk menulis komen sesuka hati serta melanggar etika yang sepatutnya. Komen yang mengandungi perkataan yang berunsur lucah & fitnah keterlaluan serta mencarut akan dipadam. Harap maklum.

0 comments: