Pelajar TATiUC terima Ijazah Kejuruteraan Kimia di Ireland Utara

LILI (dua dari kiri) dan Martini bersama Ahmad, Gregson dan Latiff (kanan) selepas menerima Ijazah Kejuruteraan Kimia di QUB, baru-baru ini.


DUA pelajar Malaysia di Queen's University Belfast (QUB), bertuah kerana menerima Ijazah Kejuruteraan Kimia pada majlis konvokesyen universiti Ireland Utara itu, baru-baru ini, yang turut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Graduan terbabit ialah Martini Muhamad dan Lili Hassan, pelajar kohort pertama program kerjasama antara Kolej Universiti TATi (TATiUC), Kemaman dan QUB.

Menerusi program itu, pelajar cemerlang TATiUC mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di QUB dengan pembiayaan kerajaan Terengganu.

Naib Canselor QUB, Prof Peter Gregson, berkata pihaknya terharu dengan kehadiran Ahmad berserta delegasi pentadbiran TATiUC, sekali gus menyaksikan majlis konvokesyen pertama pelajar kolej universiti berkenaan.

Sambil menjelaskan 120 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian di universiti berkenaan, beliau berkata:

“Awal tahun ini, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima Ijazah Kehormat daripada QUB atas sokongan baginda dalam bidang pengajian tinggi serta jaringan pendidikan antara Malaysia dan universiti ini sejak lebih 50 tahun lalu.

“Kami berharap dapat terus berhubung dengan alumni dari Malaysia bagi menaikkan nama universiti ini, sekali gus menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke Ireland Utara.”

Sementara itu, Ahmad menyifatkan lawatan itu titik permulaan kerjasama antara kerajaan Terengganu dan Ireland Utara dalam bidang pendidikan, perdagangan dan pelancongan.

“Kerajaan negeri berhasrat membiayai sehingga 20 pelajar setahun dalam bidang kejuruteraan awam dan mekanikal dalam usaha memenuhi keperluan tenaga mahir di Terengganu,” katanya.

Bagi meneruskan program itu, satu lagi memorandum persefahaman mengenainya ditandatangani Ahmad, Gregson dan Pengarah Pentadbir TATiUC, Datuk Latiff Awang.

Sumber: Berita Harian

TATiUCkini: Tahniah kepada graduan tersebut, semoga TATiUC akan mengeluarkan lebih ramai produk2 yg berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

0 comments: